Oleh ZUNAIDAH ZAINON
SELEPAS hujan teduh, pelangi akan bersinar untuk kamu, Salsabila.'' Seorang lagi akan lebih mengusik,''Tetapi setelah hujan teduh, pelangi akan muncul lalu mesti ada matahari, dan akulah matahari untuk kamu.''
Sebahagian pengucapan dialog di atas menggambarkan maksud Tunggu Teduh Dulu; tersirat cita-cita dan harapan masa lalu serta hasrat untuk menikmati keindahan dan pengisian matlamat hidup yang lebih murni.
Tunggu Teduh Dulu merupakan karya Mohd. Faizal Musa atau dikenali sebagai Faisal Tehrani yang pernah disiarkan menerusi Ruangan Agama, Utusan Malaysia (UM) pada Mac hingga Disember 2003.
Novel bersiri ini mengisahkan Salsabila Fahim, seorang anak yatim dan usahawan wanita yang mengusahakan sebuah ladang betik seluas lima hektar.
Dia berhadapan dengan konflik percintaan tiga segi bersama teman sejak kecil antara KamilĂȘ Zahidi dan Lam Ping Hai atau nama Islamnya, Saifullah.
Akhirnya, atas kuasa qada dan qadar Allah s.w.t., Salsabila mengambil keputusan mengahwini Sazly Zainuddin, seorang bekas pekerja ladangnya dalam satu pertemuan di Mekah, sewaktu mengerjakan umrah bersama ibu tirinya.
``Novel ini memberi satu dimensi baru kepada lambakan novel berunsur cinta yang terdapat di pasaran pada hari ini. Kekuatan cinta bukan sahaja diterjemahkan antara manusia, malah cinta kepada Allah s.w.t.,'' ulas Pegawai Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Hanafi Ibrahim.
Novel Tunggu Teduh Dulu yang diterbitkan pada Februari 2004, dikupas pada Diskusi Penulis Angkatan 90-an di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), 23 Julai lalu.
Selain novel tersebut, turut dibincangkan ialah Noktah di Hujung Rindu karya Hafizah Iszahanid dan Atas Nama Kasih oleh Salina Ibrahim.
Ahli panel yang turut terlibat ialah Imlan Adabi dan guru di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Dr. Ros Zakaria. Sementara forum dipengerusikan Pensyarah Sastera, Dr. Arba'ie Sujud.
Menurut Hanafi, kelebihan novel tersebut terletak pada kekuatan watak Salsabila, iaitu seorang graduan dari Amerika Syarikat yang sanggup mengusahakan ladang betik dan meninggalkan kerjaya yang lebih baik.
Watak ini juga menggambarkan dia adalah Muslimah sejati, berdasarkan kepada sikapnya yang sentiasa percaya kepada ketentuan Allah s.w.t. walau berada dalam persimpangan memilih bakal suami.
Selain Salsabila, Faisal turut menonjolkan watak Teh Sofia iaitu sahabat karibnya yang sama-sama menuntut di luar negara. Pada masa yang sama, tanpa disedari Teh Sofia turut mencintai Kamil.
``Faisal menonjolkan watak wanita yang tabah dan kuat dalam mendepani pelbagai cabaran dalam hidup mereka. Ini adalah gambaran baru bagi dunia penulisan kreatif era baru,'' jelas beliau lagi.
Dalam kekalutan konflik percintaan, Salsabila turut berusaha menjernihkan hubungan kekeluargaan antara dia dengan ibu tiri dan adik berlainan ibu.
Hanafi menambah, Salsabila dan Teh Sofia memiliki kualiti wanita yang proaktif iaitu mengambil langkah pencegahan awal untuk menghindari masalah yang lebih rumit terhadap industri perladangan.
Beliau juga berpendapat, idea penulis yang menyuntikkan semangat Islamik dalam karya sastera, banyak memberi manfaat kepada pembaca yang terdiri daripada pelbagai khalayak.
Sementara itu, Faisal Tehrani yang ditemui menyatakan, latar novel Tunggu Teduh Dulu diilhamkan dari sebuah ladang betik di Rawang.
Bagaimanapun, pada ketika itu, beliau tidak menemui garapan cerita yang boleh diolah dan disesuaikan dengan latar tersebut.
``Secara kebetulan, apabila saya menerima tawaran untuk mengisi slot ruangan Novel Bersiri, saya cuba adunkan ia melalui pembinaan plot-plot cerita,'' kata Faisal yang turut memenangi hadiah utama Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil (HSKU 2004).
Buat julung kalinya apabila Utusan Malaysia menyiarkan karya beliau, ia memberikan impak positif kepada pembaca kerana penerapan nilai sastera dan Islam yang hebat.
Selain Faisal Tehrani, Ruangan Agama UM turut memberi peluang kepada penulis terkenal tanah air, Aminah Mokhtar dan yang terbaru, penulis muda, Zaid Akhtar.
Sumber: Utusan Online (28 Julai 2005)
BAJU RAYA
-
*CLEARANCE SALE !!! *
KOLEKSI BAJU RAYA EKSLUSIF DENGAN HARGA BERPATUTAN, KAIN BERKUALITI. SCROLL
SAMPAI HABIS YER..
EMAIL ME @ aera1210@gmail.com
or...
13 years ago
No comments:
Post a Comment