Ketenangan hati ialah satu perkara yang sangat
penting. Tidak mungkin ada seorang manusia
walau apa pun latar belakang agama, budaya dan
pemikiran yang tidak bersetuju bahawa
ketenangan hati dan ketenteraman jiwa ialah satu
perkara paling penting bagi seseorang manusia.
Mungkin mereka berbeza dari segi cara untuk
mencapai ketenangan hati, ketenteraman jiwa dan
keheningan rohani, tetapi mereka tetap bersetuju
bahawa perkara ini adalah satu perkara yang maha
kritikal bagi setiap insan.
Keutuhan atau kemantapan emosi berkait rapat
dengan keheningan spiritual dan kemantapan
minda. Seseorang yang pemikirannya meyakini
bahawa dirinya adalah berasal daripada suatu
ketidaksengajaan biologi berevolusi daripada
monyet kepada manusia,
tentunya tidak sama dalam menghadapi kejadian
hidup ini dengan seorang yang berkeyakinan
bahawa insan adalah ciptaan Tuhan yang paling
baik, dan di sana Tuhan tetap berperanan di dalam
setiap gerak hukum apa yang berlaku di bumi
mahupun di langit. Dan Tuhan bukan sahaja
berurusan dengan manusia, tetapi setiap atom dan
molekul yang ada di atas muka bumi ini, antara
langit dan bumi ini serta apa yang ada di atas
langit yang tujuh ini; semuanya adalah milik
mutlak Tuhan Yang Maha Esa dan berfungsi
berdasarkan ketetapan ilmu-Nya dan izin-Nya.
Dan seorang yang menjalani hidup dengan hanya
melihat bahawa Tuhan ialah Tuhan dan aku ialah
aku; sama sekali tidak sama dengan seseorang
yang hidup di atas muka bumi ini dengan
mengenal Tuhan ialah satu-satunya Tuhan, dan
aku ialah hamba ciptaan-Nya; menyelami hakikat
rasa hina seorang hamba dijalin dengan rasa mulia
menjadi hamba kepada Tuhan Yang Maha Esa lagi
Maha Agung. Seseorang yang menyedari bahawa
sentiasa ada di sana satu Kudrat Yang Maha
Pengasih lagi Maha Penyayang serta Yang
Sentiasa Berkata, Wahai hamba-Ku, mintalah
kepada-Ku, akan Ku penuhi segala permintaan
kamu! tentulah tidak sama dengan seseorang
yang hanya melihat hidup ini hanyalah antara aku
dan kemampuanku!
Seorang anak kecil akan merasa selamat dan
tenang apabila berada di sisi ibu dan bapanya.
Bukan sekali kita melihat senario seorang kanak-
kanak yang menangis kerana terpisah daripada ibu
dan bapanya semasa membeli belah di pasaraya.
Kenapa? Adakah kerana fizikalnya tercedera?
Tentu tidak, tetapi `ketenteraman' dan `ketenangan
hatinyalah' yang tercedera. Dan kita dapat lihat
bagaimana seorang anak kecil yang menangis
kerana lututnya berdarah lantaran jatuh; berhenti
menangis hanya kerana si ibu berkata, ``Dah,
jangan menangis sikit je tu! Nanti ibu sapukan
ubat!'' Adakah dengan berkata demikian, sakit luka
yang dirasainya sudah hilang? Tidak! Sakit luka di
lututnya masih terasa, tetapi tangisannya terhenti
kerana rasa `sakit' pada jiwa dan emosinya telah
pun diubati dan telah hilang diganti dengan rasa
tenteram, kerana anak itu yakin, ibunya
memahami `penderitaannya' dan ibunya `mampu'
mengubati luka di lututnya dengan ubat yang akan
disapu nanti. Ini menunjukkan, ketenteraman hati
dan ketenangan hidup adalah satu kuasa maha
ajaib yang sangat diperlukan dalam hidup seorang
manusia. Dan adalah satu hukum serta prinsip
alam, seseorang itu akan merasa aman dan
tenang apabila mengetahui dan merasa bahawa di
sana adanya satu `kuasa' yang mampu mengatasi
segala kebimbangan dan rasa terancam yang ada.
Seorang yang genius sekalipun, tanpa
kemantapan dan kecemerlangan emosi pasti tidak
dapat menggunakan kegeniusan dan ketinggian IQ-
nya dengan betul jika jiwanya sentiasa bercelaru
dan dan tidak mantap. Kecemerlangan dan
kemantapan jiwa inilah yang disebut sebagai EQ.
Tetapi seseorang yang mantap EQ-nya, walaupun
dia hanya seorang yang buta huruf dan bekerja di
sawah bendang, tetapi dengan ketenangan jiwa
yang dimilikinya, ia dapat menghadapi hidup dan
segala masalah hidup ini dengan penuh
ketenangan dan ketertiban. Malahan, seringkali
terlontar daripada patah bicaranya, perkataan-
perkataan yang bersifat `teraputik' yang mampu
menyegarkan kerengsaan jiwa dan kegersangan
emosi.
Kekuatan rohaniah (SQ) akan menjadi penjana EQ
yang kental, dan EQ yang ada akan
menyempurnakan IQ seseorang walau pada tahap
manapun IQ-nya berada. Bukan semua orang
dapat menjadi pandai tetapi semua orang boleh
menjadi bijaksana. Allah, Tuhan yang telah
menciptakan manusia malah seluruh alam ini telah
menyatakan sebagai satu prinsip, Bukankah
dengan berzikir kepada Allah itu, hati akan
menjadi tenang? (Ar-Ra'd: 2. Berzikir di sini
membawa maksud yang luas, iaitu kita dapat
menyebut dan mengingat Allah, merasakan
kehadiran-Nya dan merasa keagungan-Nya di
dalam setiap masa dan keadaan. Mana mungkin
seseorang yang melihat Tuhan itu - dengan segala
kebesaran dan kekuasaan-Nya - berada begitu
hampir dengan dirinya, masih boleh merasa tidak
tenteram dan aman?
Mereka yang benar-benar membina kekuatan dan
`nur' kerohanian yang jernih, pasti akan mampu
merasa ketenangan hidup dan kekentalan serta
keharmonian emosi. Tuhan berfirman, Dialah yang
menurunkan `sakinah' ke dalam hati orang-orang
yang beriman! (Al-Fath: 4). Erti `sakinah' ialah
ketenangan yang tetap.
Jika demikian, sudah tentu di dalam apa yang
diperintah-Nya itu, ada alat-alat untuk
membolehkan kita membawa dan membina
ketenangan hati ini, seperti amalan zikrullah, solat,
tafakkur, amalan doa, wuduk dan lain-lain lagi.
Semoga hati kita tidak `buta' daripada melihat dan
merasai kebesaran Allah, Tuhan seru sekalian
alam ini. Sesungguhnya Dia-lah Allah, Zat Tunggal
Maha Pencipta!
BAJU RAYA
-
*CLEARANCE SALE !!! *
KOLEKSI BAJU RAYA EKSLUSIF DENGAN HARGA BERPATUTAN, KAIN BERKUALITI. SCROLL
SAMPAI HABIS YER..
EMAIL ME @ aera1210@gmail.com
or...
13 years ago
No comments:
Post a Comment