Monday, November 13, 2006

Novel popular salah siapa?

Novel popular salah siapa?
Oleh: FAISAL TEHRANI

SEKIRANYA kita membaca buku karangan Ismail Hamid, berjudul Arabic and Islamic Literary Tradition kita akan segera mengerti yang kemunculan novel atau fiksi popular di dunia Islam adalah satu fenomena sekularisme yang disuburkan oleh dunia sunni.

Tanpa perlu menyalahkan kapitalis dan sekularis di Malaysia hari ini kita boleh melihat kecenderungan yang fatal dalam dunia sastera ini secara kronologis.

Orang awam mungkin tidak tahu yang tradisi naratif Arab adalah lisan dan selepas kedatangan awal Islam ia masih dalam bentuk lisan. Tukang cerita misalnya dibenarkan bercerita di dalam masjid.

Malahan Rasulullah S.A.W. dikatakan gemar mendengar cerita-cerita Tamim al Dari. Kisah-kisah yang disampaikan ketika zaman Abu Bakar dan Umar menurut Ismail Hamid bersumberkan al-Quran dan hadis. Kadangkala kisah-kisah dari sumber Yahudi dan Nasrani dari sahabat dan mereka yang telah memeluk Islam ikut disampaikan.

Adalah dipercayai terdapat 28 orang tukang cerita di zaman awal Islam dan mereka dibenarkan mengguna masjid untuk tujuan bercerita. Akan tetapi Imam Ali telah membataskan penggunaan masjid dalam hal ini ketika pemerintahannya kerana tukang cerita pada waktu itu sudah mulai bercerita untuk tujuan hiburan.

Ketika era perang Siffin antara Imam Ali dan Muawiyah, pengikut-pengikut kedua belah pihak menggunakan cerita sebagai satu bentuk kempen.

Sejarah menyaksikan banyak hadis dan jejak sirah difiksikan oleh pihak yang berkepentingan untuk mempertahankan legasi mereka dalam pemerintahan dan sebagainya. Justeru kita mendengar pelbagai kisah mengangkat kemuliaan orang tertentu sedangkan ia diada-adakan.

Di zaman Umaiah, cerita-cerita menjadi satu bentuk hiburan dan mulai dicetak dalam bentuk buku. Kekayaan empayar Islam dan kelekaan umat Islam dunia sunni mendorong pula kemunculan kisah-kisah yang sama sekali hiburan sahaja.

Kisah-kisah cinta erotik seperti Laila Majnun contohnya ditulis ketika ini. Bentuk sastera popular ini berkembang dan menjadi saingan sastera sufi. Sastera sufi pada waktu itu dilihat sebagai satu bentuk penyataan dan pelarian daripada kehendak nafsu rendah pemimpin dan masyarakat umum.

Ketika dinasti Abasiah, perkembangan sastera menjadi lebih rencam dan dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu yang pertamanya adalah kategori kisah-kisah cinta, balada dan satira. Keduanya roman tentang hero tertentu, kisah-kisah berbentuk keagamaan, naratif linguistik dan karya-karya yang lebih mempunyai unsur falsafah.

Namun begitu fenomena fiksi popular ini kurang menimpa dunia syiah di mana penulisan kreatif merangkumi puisi, drama dan fiksi lebih berlegar seputar hal-hal benar tentang keluarga Nabi Muhammad (ahlul bait) dan peristiwa- peristiwa sedih yang menimpa mereka.

Kita didedahkan dengan hakikat yang dunia syiah lebih menumpukan kepada penulisan kreatif yang berbentuk perkabungan khususnya mengingati tragedi Karbala di mana Imam Husein telah disembelih oleh tentera-tentera Yazid bin Muawiyah.

Ini terpancar pertamanya menerusi tradisi bercerita mereka yang dapat dibahagikan kepada tiga bentuk. Bentuk pertama adalah ratsa atau elegi yang selalunya diungkapkan dalam bahasa Parsi. Hal ini berlaku kerana penganut syiah kebanyakannya berasal dari Iran.

Puisi-puisi ini selalunya adalah berbentuk ratapan dan kesedihan mengenai tragedi demi tragedi yang menimpa pengikut ahlul bait Nabi Muhammad dan para imam mereka yang berasal dari keluarga suci Nabi.

Peristiwa tragis As-syura yang menimpa Imam Husein dan keluarganya di padang pasir Karbala misalnya mempunyai nilai paling besar dan diberi posisi paling penting dalam karya-karya elegi ini.

Bentuk kedua ialah drama pentas yang dinamai Takziah di mana ia mulai merakyat ketika zaman pemerintahan Muizzuddaulah Ahmad bin Buyeh yang berkuasa di daerah Iran pada tahun 342 hijrah atau sekitar tahun 953 masihi.

Baginda telah mengeluarkan perintah supaya takziah mengenai peristiwa Karbala diluaskan sehingga menjadi pementasan rakyat di bazar perniagaan. Drama Takziah ini kemudian berkembang biak sehingga menjadi satu genre drama yang khusus di mana terdapat prinsip-prinsip tertentu untuk mementaskannya.

Di kala masyarakat sunni hiruk-pikuk dan leka dengan Laila Majnun dan pelbagai lagi karya sampah dan hanya memiliki nilai hiburan yang tiada khasiat untuk agama dan bangsa, masyarakat syiah mengulit dan menekuni karya-karya cerita yang mengandungi isi, wacana dan pemikiran tinggi.

Karya-karya cerita mereka masih berkisar mengenai tragedi dan ketidakadilan yang menimpa para imam. Sekali lagi peristiwa Karbala mendapat tempat yang signifikan.

Antara kitab-kitab cerita dan kisah mengenai Karbala yang berwibawa dalam mengungkap tragedi tersebut ialah Miftahu Al-Naja fi Manaqibi Aali Al-‘Abahal, Al-Khashaishu Al- Kubra, Al-Kawakibu Al-Durruiyyah, Is'afu Al- Raghibin, Nuuru Al-Abshar, Ihqaqu Al-Haq, Kifayatu Al-Thalibhal, dan yang paling berkesan dalam menggambarkan kejadian di Karbala, Kufah dan Damsyik mengenai peristiwa penyembelihan cucu Rasulullah itu tentulah Maqtalu Al-Husain.

Setelah memahami betapa dunia sunni bertanggungjawab dalam menyumbang kepada kemunculan dan penyemaian seni popular khususnya sastera pop yang tidak ada erti eloklah kita kembali kepada Islam sejati atau Islam sebenar yang belum dipesongkan oleh Muawiyah dan pemerintah-pemerintah seterusnya. Seni Islam yang dimaksudkan ialah seni Islam yang pernah diterokai oleh Rasulullah.

Untuk itu kita harus kembali kepada kehadiran Islam yang telah menganugerahkan kita dengan sebuah mukjizat yang kekal sepanjang zaman iaitu al-Quran. Secara umumnya al-Quran telah memberi kesan yang luar biasa ke atas sastera Arab.

Penyair-penyair zaman jahiliah misalnya turut mengagumi keajaiban al-Quran sehingga mereka memeluk Islam. Antaranya yang mendapat hidayah menerusi keagungan al-Quran ini ialah ialah penyair Labid dan Khansa. Antara aspek atau unsur yang dikemukakan al-Quran, yang mempesonakan mereka ialah pengulangan beritma.

Baginda Rasulullah sendiri dikatakan amat menggemari puisi. Rasulullah juga memanfaatkan bakat penyair-penyair seperti Hassan bin Thabit, Kaáb bin Malik dan Abdullah bin Rawahah untuk penyebaran Islam.

Dalam kalangan sahabat, menantu Rasulullah Imam Ali adalah yang paling berbakat sekali. Kehebatan Nahjul Balaghah misalnya menunjukkan penguasaan sastera baginda amat hebat dan memukau. Karya-karya puisi daripada penyair Islam yang terawal misalnya telah dihimpunkan di dalam al Mufadalliyat dan al Asmaiyat. Ibnu Qutaibah juga menghimpunkannya di dalam al Shi'rwa al Shuára sementara Ibnu Salam menyusun syair atau puisi yang ada di dalam Tabaqat Fuhul al Shuára.

Puisi dakwah semakin kukuh seiring dengan penyebaran Islam untuk mendepani karya-karya batil penyair jahiliah yang antara lain ialah Abd. Allah bin Zibári, Dirar bin al Khattab, Durayd bin al Simah, Amr bin al As, Umayyah bin Abi al Salt, Buhayrah bin Abi Ahab al Mahzumi dan Abu Sufyan bin al Harith.

Kejatuhan kota Mekah dan kemenangan Islam di Tanah Arab seterusnya telah melahirkan bentuk puisi lain pula. Perubahan politik ini telah mendorong penyair-penyair jahiliah yang memeluk Islam menulis puisi-puisi untuk memuji Nabi Muhammad dengan tujuan memohon kemaafan daripada baginda.

Antara penyair yang mencetuskan genre ini ialah Asid bin Abi Iyas al Kinani. Beliau dinamai oleh Rasulullah sebagai salah seorang musyrik yang mesti dihukum tetapi ketika Rasulullah dapat menguasai semula kota Mekah, Asid telah memohon maaf daripada baginda Rasul sambil menyusun puisi memuja-muja baginda.

Seorang lagi penyair jahiliah yang memeluk Islam ialah Kaáb bin Zuhayr anak kepada penyair terkenal waktu itu Zuhayr bin Abi Salma. Kaáb telah menulis dan mendeklamasikan puisi berjudul Banat Suád. Tetapi apa yang lebih menarik ialah Kaáb telah mencipta puisi beliau dengan menggunakan gaya puisi zaman jahiliah.

Rasulullah bagaimanapun tidak membantah malah menghadiahkan penyair ini burdah baginda. Dari sinilah bermulanya puisi-puisi memuja Rasulullah yang kemudian dalam kalangan orang sunni dikenali sebagai burdah. Puisi memuji Rasulullah ini kemudian berkembang menjadi satu genre di dalam sastera Islam. Di rantau Melayu, genre ini lebih dikenali sebagai Maulid dan dinyanyikan ketika perayaan Maulud Nabi.

Pada zaman awal Islam, karya sastera seperti puisi juga digunakan untuk menaikkan semangat dan moral tentera Islam. Penyair jahiliah telah mendeklamasikan puisi-puisi mereka untuk menyemarakkan lagi perasaan tentera-tentera kafir Quraisy. Cara sama digunakan oleh penyair-penyair Islam.

Hassan bin Thabit misalnya ikut menulis puisi dengan isinya antara lain menyeru supaya jihad dilancarkan ke atas musuh Islam, memuja kemenangan tentera Islam dan menggambarkan ganjaran yang bakal mereka terima kerana mempertahankan akidah Islam dan keimanan mereka. Genre ini turut merebak di rantau ini bagi tujuan sama.

Hikayat Prang Peuringgi misalnya ditulis oleh orang-orang Aceh dengan tujuan untuk menyeru orang-orang Islam bersatu menentang penjajahan Portugis di Tanah Melayu pada awal abad ke-16. Begitu juga karya seperti Hikayat Prang Kompeni bagi tujuan menentang Belanda dan Hikayat Prang Sabi.

Selain itu puisi sufi juga merupakan salah satu genre penting di dalam sastera Islam. Ia dikatakan mula dikarang oleh penyair-penyair di zaman Umaiah dan mempengaruhi sastera Islam di rantau lain. Selepas kesyahidan Imam Ali, Muawiyah mengambil alih tampuk pemerintahan dan bermulalah dinasti Umawi, era yang dikatakan tidak lagi semurni zaman awal Islam dan Khulafa ar Rasyidin.

Kebejatan moral pemerintah khususnya Yazid Bin Muawiyah yang minum arak terang-terangan di khalayak ramai dan rakyat yang semakin menggilai material menyebabkan ada kalangan penyair memutuskan diri dari dunia sekeliling, iaitu kehidupan dunia dan menulis puisi-puisi kerohanian.

Antara tokoh-tokoh sufi yang ikut aktif dalam dunia sastera ialah Hasan al Basri, Rabiáh al Adawiyah, Ibnu al Arabi, Farid al Din Attar dan Jalaluddin al Rumi. Ia ikut mempengaruhi rantau Nusantara dan melahirkan penyair seperti Hamzah Fansuri dengan Syair Burung Pingai, Syair Perahu dan Syair Dagang.

Sayugia diingatkan puisi sufi ditulis kebiasaannya bukan untuk dinikmati oleh orang biasa melainkan juga untuk dinikmati oleh orang sufi atau semata-mata sebagai satu bentuk luahan perasaan mereka dalam mengecapi nikmat pengalaman rohani yang luar biasa.

Genre lain di zaman awal Islam ialah khutbah dan ucapan serta warkah. Kedua- dua genre ini bagaimanapun tidak berkembang tetapi sedikit sebanyak masih mempengaruhi sastera Islam di rantau ini.

Imam Ali dengan Nahjul Balaghah menunjukkan keupayaan sastera yang tinggi dengan ucapan-ucapan berseni yang bernas, menggunakan bahasa yang tinggi dan berkias selain memuatkan pemikiran, wacana dan seruan terhadap kebenaran (tauhid) yang amat utuh.

Dalam erti kata lain, untuk membetulkan keadaan yang sedang melanda masyarakat sastera kita hari ini, iaitu kebanjiran novel popular yang tiada faedah dan hanya meneruskan tradisi lagha pemerintah seperti Yazid bin Muawiyah dan pengikutnya kita perlulah kembali kepada sunnah yang sebenarnya.

Sunnah yang sebenar, yang ditinggalkan oleh Rasulullah untuk seniman ialah sastera harus mempunyai fungsi dakwah, dan ilmu. Paling tidak, jalur yang diterokai oleh dunia syiah boleh dijadikan teladan kerana mana yang baik haruslah kita ambil sementara perkara batil seperti yang terpancar dalam seni ketika pemerintahan Umaiah dan Abasiah haruslah kita jauhi sejauh-jauhnya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=1112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera&pg=sa_01.htm