Bulan-bulan yang afdhal beribadatMarilah kita tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah,
dengan mengerjakan segala suruhannya dan meninggalkan
segala tegahannya, semoga kita termasuk dalam golongan
yang berjaya di dunia dan akhirat.
Dalam kita menempuh kehidupan di dunia ini, Allah
s.w.t telah menghadiahkan kita beberapa waktu-waktu
khusus, yang mana afdhal untuk kita meningkatkan lagi
ibadat kita kepada Nya.
Kita pernah diterangkan tentang waktu-waktu yang
afdhal beribadat dalam sehari, iaitu waktu spertiga
akhir malam, waktu selepas Subuh sehingga matahari
terbit dan waktu antara Maghrib dan Isyak. Dalam
seminggu pula Allah s.w.t telah menganugerahkan kepada
hamba-hambanya hari Jumaat sebagai sayyidul ayyam,
penghulu segala hari, agar kita menggunakan hari
tersebut untuk lebih banyak beribadat kepada Allah.
Dan Rasulullah s.a.w menggalakkan umatnya agar
berpuasa pada hari Isnin dan Khamis kerana pada kedua
hari tersebut segala amal seseorang akan dibentangkan
kepada Allah s.w.t. Tidakkah kita suka agar apabila
amal kita yang sedikit ini dibentangkan kepada Allah,
kita dalam keadaan berpuasa beribadat kepada Allah?
Dan bukan dalam keadaan melakukan maksiat sehingga
amal kita ditolak oleh Allah?
Rahmat Allah kepada hamba-hambaNya amat luas. Tidak
cukup dengan hari-hari khusus dalam seminggu, Allah
s.w.t juga mengkhususkan hari-hari tertentu dalam
sebulan bagi hamba-hambaNya yang ingin mendekatkan
diri mereka kepadaNya.
Dalam banyak hadith Rasulullah s.a.w telah
mengingatkan umatnya agar berpuasa tiga hari dalam
sebulan, tidak kira samada hari-hari tersebut
berturutan atau berpisah-pisah. Sesiapa yang berpuasa
tiga hari dalam sebulan maka seolah-olah ia berpuasa
selama-lamanya. Begitu besar ganjaran yang menanti
mereka yang ingin melakukan ibadat ini. Begitu besar
rahmat dari Allah untuk kita umat Nabi Muhammad s.a.w.
Dan sebaik-baiknya adalah berpuasa pada hari-hari yang
dinamakan ayyamul bidh, atau hari-hari terang bulan.
Ia adalah tiga hari iaitu hari ke 13, 14 dan 15 setiap
bulan Hijriyah, hari-hari bulan purnama. Telah
dikhabarkan bahawa Rasulullah s.a.w tidak pernah
meninggalkan puasa tiga hari pada hari-hari terang
bulan. Rasulullah s.a.w bersabda:
Ertinya: Nabi Nuh a.s berpuasa sepanjang masa. Nabi
Daud a.s berpuasa setengah dari sepanjang masa, kerana
beliau berpuasa dan berbuka selang-seli. Manakala Nabi
Ibrahim berpuasa sepanjang masa dan berbuka sepanjang
masa, kerana beliau berpuasa tiga hari pada setiap
bulan.
Sekiranya kita tidak mampu untuk berpuasa setiap Isnin
dan Khamis, maka janganlah ktia lepaskan peluang yang
datang sekali dalam sebulan ini. Marilah kita berpuasa
sepanjang masa dan berbuka sepanjang masa. Caranya
mudah. Kita berpuasa tiga hari sahaja dalam sebulan.
Tidak lebih dari itu. Mudah-mudahan dengan puasa ini,
ia dapat mentarbiyah rohani kita agar lebih mudah
melakukan ibadat dan berat melakukan maksiat.
Sesungguhnya orang-orang yang mukmin adalah mereka
yang suka melakukan ibadat dan berat untuk melakukan
maksiat.
Allah telah mengkhususkan untuk hamba-hambaNya
waktu-waktu tertentu yang afdhal beribadat dalam
sehari, seminggu dan sebulan. Tidak cukup dengan itu,
Allah s.w.t telah mengkhususkan untuk hamba-hambaNya
bulan-bulan tertentu dalam setahun, yang mana ganjaran
pahala yang dianugerahkan dilipat ganda. Dengarlah
firman Allah s.w.t dalam surah At-Taubah, ayat 36:
Ertinya: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi
(hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah
ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan
langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang
dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama
yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri
kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan
melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir
musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu
seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta
orang-orang yang bertaqwa.
Allah telah menganugerahkan kepada manusia empat bulan
yang haram. Bulan-bulan tersebut adalah bulan
Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Orang-orang
Islam dilarang berperang pada bulan-bulan ini kecuali
apabila diancam. Ini adalah kerana bulan-bulan ini
adalah bulan-bulan ibadah. Bulan Zulkaedah adalah
bulan persiapan bagi mengerjakan ibadat haji. Bulan
Zulhijjah adalah bulan ibadat yang agung iaitu haji.
Bulan Muharram terdapat padanya satu hari yang amat
digalakkan berpuasa dan berzikir, iaitu hari Asyura,
hari kesepuluh bulan Muharram. Rasulullah s.a.w
menggalkkan umatnya agar berpuasa pada bulan-bulan
haram ini. Sabda Rasulullah s.a.w:
Ertinya: Puasa sehari pada bulan-bulan haram adalah
bersamaan dengan puasa tiga-puluh hari pada
bulan-bulan lain. Dan puasa sehari pada bulan Ramadhan
bersamaan dengan puasa tiga-puluh hari pada
bulan-bulan haram.
Dan sabda beliau lagi:
Ertinya: Sesiapa yang berpuasa tiga hari
berturut-turut dalam bulan-bulan haram, iaitu Khamis,
Jumaat dan Sabtu, Allah akan mejauhkannya dari api
neraka.
Bulan haram yang keempat adalah bulan Rejab, satu
bulan yang digelar sebagai pintu bulan-bulan yang
mulia. Kerana bermula dari Rejab akan diikuti pula
dengan bulan Syaaban dan Ramadhan. Tiga bulan yang
mulia yang mana Rasulullah banyak berpuasa didalamnya.
6 Ogos 2005 adalah hari pertama bulan Rejab di tahun
ini. 6 Ogos 2005 adalah permulaan hari-hari mulia di
tahun ini. Sesungguhnya orang-orang mukmin akan
menggunakan bulan Rejab dan bulan Syaaban sebagai
persiapan untuk menghadapi bulan yang termulia iaitu
bulan Ramadhan. Mereka mempersiapkan diri bukan dari
sudut fizikal, tetapi dari sudut rohani. Mereka mula
membersihkan hati mereka sebelum menghadapi bulan
Ramadhan yang mulia, agar apabila datang bulan
Ramadhan, hati mereka sudah bersedia untuk menerima
cahaya dari Allah, rahmat dan fadhilat dari Allah.
Inilah ciri-ciri orang mukmin. Rasulullah s.a.w setiap
kali masuk bulan Rejab, beliau akan berdoa:
"Ya Allah! Berkatilah untuk kami dalam bulan Rejab dan
Syaaban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan"
Inilah doa yang sepatutnya kita membacanya bermula
dari hari ini.Agar kita diberkati oleh Allah pada
bulan ini (Rejab) dan bulan akan datang (Syaaban). Dan
agar kita dapat bertemu dengan bulan Ramadhan yang
mulia.
Perbanyakkanlah ibadat pada bulan-bulan yang mulia
ini. Dan kurangkanlah maksiat pada bulan-bulan ini.
Tidakkah kita mahu merebut peluang ini? Seperti mana
kita ingin bonus gaji kita setiap tahun, lihatlah
bagaimana Allah menyediakan bonus pahala untuk kita.
Bukan setakat setiap tahun sahaja, tetapi setiap hari,
setiap minggu dan setiap bulan. Rugilah mereka yang
mensia-siakan bonus dari Allah ini. Firman Allah s.w.t
dalam surah Mukminun, ayat 61:
Ertinya: Mereka itulah orang-orang yang segera
mengerjakan kebaikan, dan merekalah orang-orang yang
mendahului pada mencapainya.