Oleh ANI AWANG
PENULIS prolifik, Mohd. Faizal Musa (Faisal Tehrani) merupakan antara beberapa penulis muda yang menonjol di negara ini.Genre pelbagai tulisan yang dihasilkannya telah menampilkan nilai yang tinggi pada kesusasteraan negara.
Unsur-unsur Islam yang diserapkan pada karyanya telah dijadikan sebagai salah satu cara mendidik remaja.
Dalam karya terbarunya Advencer Si Peniup Ney, penulis yang berasal dari Melaka itu amat berani menongkah arus, mengkritik barat yang menggunakan kesenian untuk melalaikan remaja Islam.
Beliau menyarankan budaya hiburan hendaklah berteraskan kembali kepada gaya Islam dan bukannya gaya barat.
Justeru itu, Faisal mengkritik budaya realiti televisyen yang sedang bercambah dan mencengkam masyarakat kita pada masa ini akibat pengaruh budaya barat yang tidak sesuai dengan orang Timur seperti masyarakat di negara ini.
Penulis muda yang mengilap bakatnya melalui Minggu Penulis Remaja (MPR) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini, semalam (15 Jun) dipilih sebagai pemenang Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan - ExxonMobil (HSKU 2004) yang diadakan di Hotel The Palace of Golden Horses, Seri Kembangan.
HSKU bukan asing bagi Faisal kerana beliau pernah memenanginya pada tahun 2002 melalui novel 1515 dan novel 1511H (Kombat) pada tahun 2003.
Tahun ini, Faisal melakarkan kemenangan bagi kali ketiga berturut-turut menerusi dua novelnya iaitu Advencer Si Peniup Ney dan Detektif Indigo.
Kemenangan tempat pertama pada 2004 ini melalui novel Advencer Si Peniup Ney bagi Kategori Hadiah Novel Remaja HSKU dengan hadiah RM6,000 dan kedua, Detektif Indigo (RM4,000) telah menjadikan beliau meraih hadiah keseluruhan bernilai RM10,000 bagi HSKU 2004.
``Alhamdulillah saya sangat bersyukur dengan kemenangan ini dan semoga dakwah ini akan berterusan dan di terima masyarakat umum khususnya remaja kita.
``Saya harap pembaca dapat menerima kedua-dua buah novel ini memandangkan inilah pertama kali saya cuba menggarap sebuah karya untuk remaja awal iaitu remaja berumur antara 13 hingga 16 tahun.
``Sebelum ini saya menulis karya untuk sasaran remaja akhir. Saya harap cubaan saya ini diterima oleh pembaca,'' katanya kepada Mega baru-baru ini.
Kritik budaya barat dalam novel
Menerusi novel Advencer Si Peniup Ney, Faisal menggarapkan novel ini bertitik tolak daripada idea-idea Malik Ben Nabi, seorang ahli falsafah daripada Algeria.
``Saya menggunakan cetusan pemikiran beliau itu yang mengatakan Barat menggunakan kesenian seperti nyanyian untuk melemahkan nilai-nilai kekeluargaan Islam, menjadikan masyarakat lemah dan hilang tumpuan hidup.
Beliau menamakan fenomena ini sebagai coefficient atau ruang kerja penjajahan kerana apa yang dilakukan oleh Barat ialah menghapuskan prinsip dasar individu muslim dengan merosakkan tumpuan akidahnya, melanggar sahsiahnya dan meruntuhkan pembangunan insan.
``Justeru itu, saya menampilkan idea ini dengan menjadikan budaya Barat dan falsafah hedonisme sebagai kritikan.
``Saya menawarkan konsep souti sarmad sebagai gantian. Souti sarmad secara asasnya adalah sebuah konsep budaya dan seni yang menyandarkan bidang hiburan khususnya, kembali kepada Allah bukan hiburan kosong semata-mata,'' katanya.
Menerusi Advancer Si Peniup Ney, Faisal menggunakan watak seorang ustaz muda bernama Ustaz Sulaiman Kamal yang telah diundang oleh empat puluh jin untuk berdakwah di negara jin. Setelah mendapat kebenaran bapanya, Sulaiman ditemani oleh jin bernama Harun, Daud, Hud, mengembara ke negara jin. Dalam kembara itu mereka telah menceroboh secara tidak sengaja negeri Fantasia yang mengagungkan budaya hedonisme.
Negeri tersebut diperintah oleh Jin Bertindik Satu yang mengasaskan bentuk hiburan rendah bertunjangkan syahwat semata-mata. Di negeri Fantasia terdapat sebuah akademi muzik yang mengasuh pelajar-pelajarnya untuk menjadi penghibur nafsu rendah.
Ustaz Sulaiman dan teman-temannya diperintahkan membuat persembahan pada konsert mingguan dan sekiranya mereka gagal menarik perhatian juri, mereka akan disingkirkan dan dibunuh.
Mereka bercadang membuat persembahan ney (serunai buluh orang-orang sufi). Di negeri Fantasia, penyanyi nombor satunya Puteri Simone Sidharra telah jatuh cinta dengan kekacakan Ustaz Sulaiman dan merancang untuk menggodanya.
Pelbagai kejadian berlaku. Dalam pada itu, Ustaz Sulaiman dan kawan-kawannya turut berusaha mengislamkan masyarakat jin itu.
Unsur CSI dalam Detektif Indigo
Menerusi novel Detektif Indigo pula, Faisal mengetengahkan idea futuwwah (persaudaraan dan kesatriaan sufi) yang telah dikemukakan dalam 1511H (Kombat) ke dalam novel ini.
Beliau telah mengetengahkan watak-watak bangsa-bangsa Islam yang lebih global.
``Dengan berlatarkan teknologi crime scene investigation (CSI) saya menampilkan watak-watak remaja dengan IQ tinggi atau dinamakan dalam istilah saintifiknya indigo,'' jelas Faisal.
Melalui Detektif Indigo, Faisal mengetengahkan remaja cerdas dan berbakat luar biasa iaitu Chen-chung, seorang remaja muslim dari Malaysia yang dipadankan bersama lima lagi teman-temannya iaitu Mihrimah Maryam, Faruq Sahrandi, Ruzbihan, Isamu Nakamura, dan Zaitun.
Di Akademi Indigo ini mereka dilatih untuk menjadi detektif dengan teknologi CSI yang terkini. Apabila guru mereka ditahan kerana tuduhan meletupkan sebuah pasar raya, remaja-remaja tersebut telah berusaha membersihkan nama guru dan Akademi Indigo dengan bantuan beberapa orang guru seperti Dr. Dila dan Cikgu Mama.
``Sekali lagi persoalan oksidentalisme mendasari novel ini. Kali ini Barat ditampilkan memusuhi Islam dengan melabelkan umat Islam sebagai militan sewenang-wenangnya.
``Remaja-remaja Indigo Islam ini berusaha menghapuskan stigma Barat tersebut dengan kepintaran dan kecerdasan akal mereka, seimbang dengan akhlak yang mulia,'' tambahnya.
Hadiah
Faisal menulis di dalam pelbagai genre setelah memulakan karier penulisan sejak 1990.
Antara hadiah cerpen yang dimenangi beliau ialah Malam Ini Philadelphia Menangis (Hadiah Sastera Siswa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1994, cerpen Perempuan Anggerik (Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/1997), Syahid Raja Api (HKSU 2000), Cik Siti Mustika (Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2002/2003) dan Setelah Diciptakan Adam (Hadiah Sastera Islam Ke 11 DBP dan Yayasan Pelajaran Islam (YPI) 2004.
Dalam genre puisi pula antara hadiah yang dimenangi Faisal ialah Sesudah Hujan, Dahlia (HSKU 1999).
Beliau meraih anugerah bidang drama menerusi Rintih Chicago bagi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/1997 dan Angin Madinah (Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001).
Sumber: Utusan Online (16 Jun 2005)
BAJU RAYA
-
*CLEARANCE SALE !!! *
KOLEKSI BAJU RAYA EKSLUSIF DENGAN HARGA BERPATUTAN, KAIN BERKUALITI. SCROLL
SAMPAI HABIS YER..
EMAIL ME @ aera1210@gmail.com
or...
13 years ago
No comments:
Post a Comment