Friday, April 14, 2006

Keutamaan memakmurkan masjid

TIDAKLAH layak orang-orang kafir musyrik itu memakmurkan masjid-masjid Allah s.w.t. sedangkan mereka menjadi saksi (mengakui) akan kekufuran diri mereka sendiri. Mereka itu ialah orang-orang yang rosak binasa amal-amalnya dan mereka pula kekal di dalam neraka. (At-Taubah: 17)

HURAIAN

Dalam ayat ini Allah s.w.t. secara jelas menyatakan bahawa orang-orang musyrik tidak berhak memakmurkan masjid yang merupakan rumah Allah s.w.t. iaitu tempat orang Islam beribadat dan sujud kepada Allah s.w.t.. Ini kerana orang-orang musyrik ini secara jelas mensyirikkan Allah s.w.t.. Hanya golongan muslim yang layak memakmurkan masjid. Memakmur dan mengimarahkan masjid bermakna selalu berjemaah di dalamnya sebagai tempat beribadat, memelihara, membersihkannya dan menjaganya, memperbaiki sekiranya ada kerosakan, mencukupkan mana-mana yang kurang serta sentiasa menziarahi masjid untuk beribadat.

Sedangkan orang kafir Quraisy pada masa dahulu telah meletakkan berhala di sekeliling Masjidil Haram dan menyembahnya, bukan beribadat kepada Allah s.w.t.. Perbuatan mereka ini adalah sia-sia dan tidak memberi kebaikan kepada mereka. Sungguhpun mereka meramaikan masjid, mereka tidak akan memperoleh pahala bahkan perbuatan mereka tidak diterima Allah s.w.t. malah ia adalah perbuatan kufur.

Sekiranya mereka dibenarkan memakmurkan masjid maka diragui mereka akan mengambil kesempatan untuk memanipulasikan masjid serta boleh menjauhkan umat Islam daripada mengunjungi masjid-masjid.

Memakmurkan masjid merupakan tanggungjawab orang Islam. Dengan sebab itu umat Islam hendaklah menjadi contoh dalam memakmurkan masjid dan mengajak kepada kebaikan kepada orang lain. Pada zaman Rasulullah s.a.w. masjid memainkan peranan penting dengan menjadi tempat orang Islam berkumpul untuk menuntut ilmu, mesyuarat dan menyelesaikan masalah semasa.

KESIMPULAN

Orang Islam mendapat keutamaan untuk menghidupkan masjid dengan perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan kepada diri dan masyarakat serta pembangunan negara melalui aktiviti-aktiviti yang dirancang agar masjid tidak hanya menjadi simbol tetapi kekuatan umat Islam.

- Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

No comments: