Tuesday, April 25, 2006

Surat-Surat Perempuan Johor

Baru beli dua buah lagi karya Saudara Faisal Tehrani minggu lepas... dah selesai baca Cinta Hari-Hari Rusuhan... sekrg ni tgh membaca Surat-Surat Perempuan Johor...



Judul : Surat-surat Perempuan Johor
Pengarang : Faisal Tehrani
Penerbit : Yayasan Warisan Johor
Genre : Novel dewasa
Mukasurat : 678 halaman
Cetakan Pertama : 2005
ISBN : 9832440149

Novel "Surat-Surat Perempuan Johor " adalah sebuah karya epistolarian memaparkan pengalaman perasaan dan pemikiran dua watak wanita bangsawan Johor. Sebuah karya yang sebenar, mengupas sejarah sejak dari asal-usul penciptaan khalifah Allah hingga kepada pesan dan nasihat menegakkan peradapan mulia, meluncur mengingatkan perdaya Barat, mendorong memperkasa umat.

Hanya kematian memisahkan mereka dari perjuangan suci. Sejarah adalah kenderaan, warkah adalah catatan taujih dan mulahazah, matlamatnya keabadian negeri akhir dan keredhaan Allah sumber segala sejarah, dan pasti segala kekuatan.

Telusuri warkah dan surat Ungku Hamidah serta Ungku Nur, sulaman pantun dan falsafah, dan hayati episod sejarah berlatar Majalah Ahkam Johor, proses pemodenan Johor oleh Almarhum Sultan Abu Bakar dan Sultan Ibrahim, Hubungan erat Johor dan Turki serta cita-cita mengenepikan sekularisme sebagai tenaga memulihkan kegemilangan sejarah demi mencapai kemurnian akidah.

Novel ini telah memenangi tempat ketiga Sayembara Menulis Novel Sejarah dan Tradisi Johor 2005.

http://www.ujanailmu.com.my/pd_suratsurat.cfm

Thursday, April 20, 2006

Pembelian Buku Secara Online

Jika anda berminat membeli buku tanpa pergi ke kedai buku, hanya layari laman web http://www.ujanailmu.com.my

Pilih buku yg hendak dibeli kemudian transfer duit melalui internet banking..
Buku akan tiba dlm masa 2/3 hari... dijamin selamat sampai... cubalah...

Pengenalan kepada Ujana Ilmu


Ujana Ilmu ditubuhkan bertujuan sebagai saluran kepada penulis dan penerbit sastera di Malaysia untuk mencapai khalayak mereka.

Di sini ditampilkan buku-buku yang jarang-jarang ditemui di kedai-kedai buku biasa. Kebanyakannya hasil karya penulis-penulis yang berpotensi tetapi memilih untuk menerbitkan buku-buku mereka sendiri. Tidak mustahil, sekiranya, anda mungkin hanya boleh mendapatkkannya di sini.

Ujana Ilmu juga menerima buku-buku anda untuk dijual di sini, tertakluk kepada syarat dan terma yang telah ditetapkan.

Di sinilah kawah perlakuran antara semua penulis, penerbit, pembaca dan sekalian peminat sastera bertemu. Semoga anda menemui setiap karya yang dicari di Ujana Ilmu. Kami sentiasa menambah koleksi untuk membantu menyingkatkan perjalananan anda ke kedai-kedai buku kerana Ujana Ilmu ialah kedai buku untuk semua pembaca.

Adakah anda sedang mencari-cari buku yang sukar ditemui? Majukan kepada kami sama ada judul, pengarang, penerbit ataupun nombor ISBN, kami sedia membantu menyelesaikan pencarian anda.

E-mel kami untuk sebarang pertanyaan : webmaster@ujanailmu.com.my

atau telefon / fax kami di talian : 06-7675722 (Shukri / Nisah)

Wednesday, April 19, 2006

Cinta Hari-hari Rusuhan



Judul : Cinta Hari-hari Rusuhan
Pengarang : Faisal Tehrani
Penerbit : Creative Enterprise
Genre : Novel
Mukasurat : 288 halaman
Cetakan Pertama : 2000
ISBN : 9838934143

Hidup memang bukan mudah dan kerana payahnyalah kehidupan itu, aku dan engkau akan menjadi lebih bermakna sebagai manusia... Kekeliruan yang berlaku dulu usah dikesali lagi... mengingatinya sekadar menambah rasa bersalah

Menyerahkan diri kepada-Nya akan beroleh pahala

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

SYEIKH Sya'rawi berkata: Allah s.w.t. menjelaskan bagaimana cita-cita Ahli Kitab yang ingin memurtadkan orang beriman. Hal ini tidak lain tidak bukan semata-mata hasad daripada diri mereka. Seterusnya Allah s.w.t. mahu menjelaskan bagaimana sifat bencinya Ahli Kitab dan berkata: “Sesungguhnya mereka berdasarkan neraca keadilan dan kebenaran yang kami ikutinya iaitu manhaj Allah s.w.t..

Justeru, Allah s.w.t memerintahkan orang beriman supaya thabit dan tetap dengan iman di samping melaksanakan segala taklif syarak. Inilah sebaik-baik penolakan terhadap mereka. Antara taklif syarak itu yang didatangkan Islam mempunyai waktu, masa dan sedikit amalan seperti rukun Islam yang lima.

Justeru, disebut dalam ayat berikut:

Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan daripada kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.

Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani.” Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah ke mari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar.”

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintah-Nya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (al-Baqarah: 110 hingga 112)

Firman Allah s.w.t: Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat. Peliharalah dua rukun dan tiang Islam iaitu solat dan zakat serta dekatilahmu kepada-Nya dengan beribadat sama ada bentuk ibadat badaniyah (nisbah kepada jasad) atau maliyah (nisbah kepada harta) dan apa jua yang kamu dahulukan daripada kebaikan untuk diri kamu. Al-Baghawi dalam tafsirnya Ma`alim al-Tanzil berkata: “Ketaatan dan amalan salih. Kamu tentu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah.”

Sesungguhnya Allah sentiasa melihat segala yang kamu kerjakan. Allah Maha Pemerhati atas segala amalanmu dan akan dibalas pada Hari Akhirat. Demikianlah al-Quran membangkitkan kesedaran kaum Muslimin dan memusatkan (perhatian mereka) kepada sumber bahaya dan komplot jahat (kaum Yahudi) serta menggemblengkan rasa kewaspadaan mereka terhadap niat-niat yang jahat, tipu daya yang licin dan hasad dengki yang keji itu.

Kemudian al-Quran membimbing mereka agar sentiasa bersiap sedia kepada Allah dan menunggu perintah-Nya serta meletakkan tindakan mereka di bawah keizinan-Nya. Sementara menunggu perintah itu, al-Quran menyeru mereka (mengambil sikap) memberi kemaafan dan keampunan untuk menyelamatkan hati mereka daripada hasad dengki dan dendam kesumat.

Kemudian ayat-ayat yang berikut terus mematahkan dakwaan-dakwaan kaum Ahli Kitab Yahudi dan Nasara terutama dakwaan mengatakan bahawa mereka sahaja (umat) yang mendapat hidayat dan syurga Tuhan, tiada orang lain yang akan memasukinya! Tetapi pada waktu yang sama setiap puak Ahli Kitab menentang satu sama lain dan menuduh lawannya sebagai puak yang tidak mempunyai apa-apa pegangan.

Ketika menghuraikan dakwaan-dakwaan kaum Yahudi yang panjang lebar itu, al-Quran menjelaskan hakikat yang sebenar dan memberi kata pemutusnya mengenai (dasar) amalan dan balasan. Kaum Ahli Kitab yang menentang kaum Muslimin di Madinah adalah kaum Yahudi. Ini kerana di sana tidak ada kumpulan kaum Nasara yang mengambil sikap kaum Yahudi. Tetapi nas di sini merupakan satu nas umum yang menghadapi dakwaan-dakwaan golongan itu.

Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani.” Yahudi telah mendakwa bahawa semua golongan tidak berhak masuk syurga kecuali menganut ajaran Yahudi. Begitu juga Kristian mendakwa semua golongan tidak akan masuk syurga kecuali menganut ajaran Kristian. Kaum Yahudi pula mendakwa: “Tidak akan masuk syurga melainkan hanya orang-orang Yahudi sahaja.” Sementara kaum Nasara pula mendakwa: “Tidak akan masuk syurga melainkan hanya orang-orang Nasara.”

Dakwaan ini tidak berlandaskan sebarang dalil selain daripada dakwaan kosong sahaja. Oleh itu, Allah s.w.t. mengajar Rasulullah s.a.w. mencabar mereka supaya mengemukakan dalil. Ibn Abbas berkata: “Orang Yahudi Madinah dan Kristian Najran bertelingkah di sisi Nabi s.a.w.. Golongan Yahudi mendakwa bahawa orang Kristian tiada apa-apa keistimewaan dan tidak layak masuk syurga kecuali yang menganut ajaran Yahudi dan mengkufurkan dengan Injil dan Isa. Sedangkan dakwaan Kristian pula tidak layak masuk syurga kecuali hanya golongan kristian.

Ini sebenarnya hanyalah angan-angan mereka. Mimpi-mimpi mereka dan khayalan sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah ke mari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, Al-Nasafi dalam Madarik al-Tanzil berkata: “Sila kemukakan hujah kamu atas keistimewaanmu dapat masuk syurga.”

Kepercayaan

“Wahai Muhammad, katakanlah kepada mereka: “Datangkan kepadaku segala bukti yang jelas atas dakwaanmu sekiranya benar.”

Itulah angan-angan mereka. Katakanlah: “Bawalah hujah-hujahmu jika kamu benar.” Di sini al-Quran menjelaskan satu dasar umum daripada dasar-dasar kepercayaan Islam iaitu balasan adalah mengikut amalan tanpa memilih kasih terhadap sesuatu umat, golongan atau individu. (Yang menjadi asas) balasan adalah Islam dan ihsan (menjunjung perintah dengan sebaik-baiknya) bukannya nama dan gelaran.

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan Al-Alusi berkata dalam Ruh al-Ma’ani: “Ini merupakan penolakan atas dakwaan mereka di samping mengisbatkan daripada apa yang mengandungi penafian masuk syurga di kalangan yang lain.”

Sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintah-Nya), yang dimaksudkan dengan serah diri ialah dengan mengikhlaskan dan maksud wajah. Di sini terdapat dua pendapat:

* Bahawa itu adalah agama.

* Bahawa itu adalah amalan.

Bahkan yang berhak masuk syurga hanya daripada kalangan yang benar-benar menyerah diri, tunduk dan patuh serta mengikhlaskan bagi Allah s.w.t.. Di sini ditonjolkan ciri Islam yang pertama iaitu penyerahan muka (wajah) yang melambangkan penyerahan seluruh diri. Kata-kata aslam bererti penyerahan diri yang mencakupi kedua-dua segi kepercayaan batin dan amalan yang zahir sekali. Namun demikian ia memerlukan bukti yang jelas terhadap penyerahan itu iaitu:

Orang yang beriman membenarkan dan mengikut Rasulullah s.a.w.. Ia menumpukan seluruh dirinya kepada Allah s.w.t. dan memusatkan seluruh perasaannya kepada Allah s.w.t. berbanding dengan orang yang menumpukan dirinya kepada kejahatan dan dosa. Sifat Islam atau penyerahan diri merupakan kesatuan dan persamaan antara perasaan dan tingkah laku, akidah dan amalan, iman hati dan ihsan amali. Dengan kesatuan ini, akidah Islam dapat berubah menjadi satu sistem hidup yang lengkap, dan dengan kesatuan ini juga sahsiah manusia menjadi sepadu dengan segala kegiatan dan haluan hidupnya serta dengan kesatuan itu wajarlah seseorang Mukmin itu menerima seluruh pemberian ini.

Maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka. Al-Samarqandi dalam tafsirnya Bahr al-`Ulum berkata: “Daripada azab ketika takutnya ahli neraka.” Dikatakan juga takut digunakan untuk perkara akan datang. Sedangkan dukacita untuk perkara yang telah lalu.

Begitu juga disebut takut terbahagi kepada tiga:

1. Takut yang berkekalan. Maka sudah tentu menjadi kebaikan bagi orang Islam.

2. Takut azab atas terputusnya boleh membawa keamanan bagi orang yang bertaubat.

3. Takut hari himpunan dan perhitungan. Menjadi keamanan bagi orang yang berihsan. Dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Hanya bagi mereka pahala amalan dan tidak berasa takut pada hari akhirat. Begitu juga dukacita atau keluh kesah, sebaliknya mereka mendapat nikmat yang berkekalan. Sebelum ini al-Quran telah pun menjelaskan dasar ini dari segi hukuman sebagai menjawab dakwaan mereka (kaum Yahudi) yang mendakwa: “Kami tidak akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu sahaja.”

- DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah pensyarah di Kolej Uniti, Pasir Panjang, port Dickson, Negeri Sembilan.

Friday, April 14, 2006

Al-Idrisi ahli geografi abad ke-12

AL-Idrisi telah menghasilkan buku dalam bidang geografi bertajuk Kitab Nazhat al-Mushlak fi Ikhtirak al-Afak. Ringkasan buku ini dalam bahasa Arab diterbitkan di Rom pada 1592M. Ia diterjemahkan ke dalam bahasa Latin oleh dua orang Kristian Maronit dan diterbitkan di Rom pada 1619M.

Tajuknya telah ditukar kepada Geographia Nubiensis. Dalam buku itu, al-Idrisi menggambarkan secara astronomi tempat letak sesuatu tempat di permukaan bumi.

Ketika berada di Sisilia, Itali untuk melaksanakan program penelitian, pemerintah Sisilia, Roger II (1129-1140) yang berketurunan Normandia amat mengagumi keupayaan al-Idrisi.

Kitab Nazhat al-Mushlak fi Ikhtirak al-Afak disusun atas dorongan Roger II dan kemudian karya itu lebih dikenali sebagai The Book of Roger. Buku ini pernah digambarkan sebagai sebuah deskripsi paling sempurna di dunia pada abad pertengahan. Ia telah diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis oleh Amedie Jaubert pada 1840M.

Dalam The Book of Roger terdapat dua buku ringkasan. Buku pertama ialah Janiyal al-Azharar-Rawd al-Mi’tar yang ditemui pada 1893M oleh Vollers di Kaherah. Kedua, Kitab al-Jugghrafiyah al-Kuliyyah ay-Surat al-Ard yang ditemui oleh E-Griffini daripada sebuah koleksi peribadi di Tunisia. Lakaran peta yang sebahagiannya berwarna menghiasi teks ini yang boleh didapati dalam naskhah Little Idrisi di Istanbul.

Beberapa penulis Barat menyatakan bahawa al-Idrisi atau nama penuhnya Abu Abdullah Muhammad bin Muhammad bin Abdullah bin Idrisi al-Ali bin Amrullah dilahirkan pada 493H/1100M di Cetua. Beliau dipercayai menuntut di Kordoba, Sepanyol dan Afrika Utara. Keadaan itulah yang menuntutnya menetap di Istana Roger II di Sisilia.

Ibnu Basrun, seorang penyair Arab Sisilia dan teman karib al-Idrisi menyatakan bahawa Idrisi telah menulis karya biografi untuk William I iaitu Rawd al-Uns wa Nuzhat an-nafs.

Menurut Reinaud dan Rommel, keterangan ini secara tidak langsung diperkukuh dengan kenyataan bahawa isi daripada kutipan al-Idrisi diberikan oleh Abu Fida’ dalam bukunya, Takwin al-Buldan, yang tidak ada kaitan dengan The Book of Roger.

Pada awal abad ke-19, M.J. Horovits menemui sebuah naskhah al-Idrisi di Istanbul iaitu Uns al-Muhaj wa Rawd al-Fura. Dalam salah satu tulisannya, C.F. Seyhold menyatakan naskhah itu merupakan ringkasan karya geografi al-Idrisi yang kedua ditulis untuk William II. Sementara itu, J.H. Kramers berpendapat, ia merupakan intisari daripada buku Tje Idrisi yang ditulisnya pada 588H/1192M.

Di samping itu, teks lengkap daripada buku The Book of Roger juga menjadi sebuah buku ringkasan dan pemotongan pada bahagian tertentu dilakukan tanpa alasan dan motif yang jelas.

Ringkasan ini termasuk salah satu karya Arab sekular yang dicetak oleh Medici Press di Rom pada 1592M. Ia diberi tajuk Kitab Nuzhat al-Mushtak fi Dzikr al-Amsar wa al-Aktar wa al-Buldan wa al-Juzur wa al-Mayadin wa al-Afak. Edisi Medici ini lalu diterjemahkan ke dalam bahasa Itali pada 1600M oleh poligraf Itali, B.Baldi. Terjemahan ini masih tersimpan baik di Universiti Montpellier, Perancis.

Pada 1619M, Marollites Gabriel Sionita dan Joannes Hesronita juga menterjemahkannya ke dalam bahasa Latin dan kemudian ia diterbitkan di Paris.

Karya ringkasan berjudul Kitab al-Jami’li Asytat an-Nabat atau Kitab al-Mufradat ditemui oleh H.Ratter di Perpustakaan Fatih, Istanbul pada 1928. Walaupun buku tersebut kurang lengkap tetapi ia berjaya membuktikan penglibatan al-Idrisi yang mencipta ubat-ubatan. Buku itu diterjemah ke dalam 12 bahasa.

Sebuah bibliografi terperinci dengan pengantar tentang karya-karya al-Idrisi diberikan oleh G.Oman dalam Notizie Bibliografis Chesul Georafo Arabo al-Idrisi (XII scolo) e Sulle sue Opere (1961). Catatan bibliografi al-Idrisi juga terdapat dalam Hajji Khalifa yang disunting oleh Flugel. Terjemahan lengkap dalam bahasa Perancis buku The Book of Roger yang diusahakan oleh P.A. Jaubert (Paris 1836-1840) telah diterbitkan dalam dua jilid.

Keutamaan memakmurkan masjid

TIDAKLAH layak orang-orang kafir musyrik itu memakmurkan masjid-masjid Allah s.w.t. sedangkan mereka menjadi saksi (mengakui) akan kekufuran diri mereka sendiri. Mereka itu ialah orang-orang yang rosak binasa amal-amalnya dan mereka pula kekal di dalam neraka. (At-Taubah: 17)

HURAIAN

Dalam ayat ini Allah s.w.t. secara jelas menyatakan bahawa orang-orang musyrik tidak berhak memakmurkan masjid yang merupakan rumah Allah s.w.t. iaitu tempat orang Islam beribadat dan sujud kepada Allah s.w.t.. Ini kerana orang-orang musyrik ini secara jelas mensyirikkan Allah s.w.t.. Hanya golongan muslim yang layak memakmurkan masjid. Memakmur dan mengimarahkan masjid bermakna selalu berjemaah di dalamnya sebagai tempat beribadat, memelihara, membersihkannya dan menjaganya, memperbaiki sekiranya ada kerosakan, mencukupkan mana-mana yang kurang serta sentiasa menziarahi masjid untuk beribadat.

Sedangkan orang kafir Quraisy pada masa dahulu telah meletakkan berhala di sekeliling Masjidil Haram dan menyembahnya, bukan beribadat kepada Allah s.w.t.. Perbuatan mereka ini adalah sia-sia dan tidak memberi kebaikan kepada mereka. Sungguhpun mereka meramaikan masjid, mereka tidak akan memperoleh pahala bahkan perbuatan mereka tidak diterima Allah s.w.t. malah ia adalah perbuatan kufur.

Sekiranya mereka dibenarkan memakmurkan masjid maka diragui mereka akan mengambil kesempatan untuk memanipulasikan masjid serta boleh menjauhkan umat Islam daripada mengunjungi masjid-masjid.

Memakmurkan masjid merupakan tanggungjawab orang Islam. Dengan sebab itu umat Islam hendaklah menjadi contoh dalam memakmurkan masjid dan mengajak kepada kebaikan kepada orang lain. Pada zaman Rasulullah s.a.w. masjid memainkan peranan penting dengan menjadi tempat orang Islam berkumpul untuk menuntut ilmu, mesyuarat dan menyelesaikan masalah semasa.

KESIMPULAN

Orang Islam mendapat keutamaan untuk menghidupkan masjid dengan perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan kepada diri dan masyarakat serta pembangunan negara melalui aktiviti-aktiviti yang dirancang agar masjid tidak hanya menjadi simbol tetapi kekuatan umat Islam.

- Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).