Friday, December 28, 2007

CINTA SANG RATU - Ramlee Awang Murshid

Baru abis baca buku ni...
bestlah... ending dia tu mmg ada sequel lg...
sambungan novel Bagaikan Puteri...
dah jatuh cinta dgn watak Laksama Sunan sejak baca Bagaikan Puteri...
last few days, ternampak novel Cinta Sang Ratu kat Tesco, terus belilah... :)
mmg minatlah karya Ramlee Awang Mursyid...
penulis novel melayu-thriller no. 1 di Malaysia...


Halaman: 572
Harga: RM19.90

Sinopsis: CINTA SANG RATU

ANDA tidak sabar untuk memiliki Cinta Sang Ratu karya Ramlee Awang Murshid? Inilah masanya anda mengunjungi ke kedai-kedai buku atau melanggan terus melalui Unit Langganan untuk mendapatkan novel thriller no. 1 Malaysia ini.

Pastinya anda ingin mengetahui cerita seterusnya setelah membaca Bagaikan Puteri. Apa yang berlaku kepada Laksamana Sunan dan Haryani? Akhir kurun ke-15, Ratu Sulaman terus memerhatikan kerumunan orang ramai. Dia tertinjau-tinjau dan mengharapkan Laksamana Sunan segera bangkit. Seketika tadi dia berjaya melepaskan sebilah anak panah tepat ke belakang lelaki itu. Jantungnya kini bagai direntap kasar apabila melihat jasad Laksamana Sunan diusung beramai-ramai. Hatinya rawan teringatkan ucapan lelaki itu kepadanya.

Awal abad ke-21, bersendirian di bilik tidur, Haryani meraih ingatannya kepada Dani. Lelaki yang telah menyelamatkan nyawanya itu kini hilang sewktu tsunami melanda Aceh. Harapan untuk Dani hidup amat tipis. Tidak mungkin Dani selamat dari badai ombak itu. hanya kata-kata Dani sahaja yang menjadi pengubat resahnya.

Inilah kisah pertembungan dua zaman yang pastinya membuatkan anda sayang sekali untuk meninggalkan walaupun satu perkataan kerana ceritanya semakin PANAS!!!

Segera dapatkannya dan diucapkan Selama Membaca!

BAGAIKAN PUTERI - Ramlee Awang Murshid


Harga : RM 19.90
Halaman :560

Sinopsis : BAGAIKAN PUTERI

Haryani dan Laksamana Sunan...
saling jatuh cinta. Pertemuan kedua insan ini dalam satu dimensi di luar batas jangkauan manusia, malah sukar diterima lojik akal. Mereka dari zaman yang berbeza.

Haryani terperangkap dalam perkelahian antara kebaikan dan kebatilan manusia. Perjalanan yang panjang, penuh ranjau dan cabaran membuatkan Haryani dan Saifudin mendiamkan sahaja cinta yang terpendam.

Dani... pertama kali melihat Haryani yang terlantar koma di hospital terus jatuh hati. Dia berusaha membawa Haryani kembali semula ke abad 21.

Antara dua lelaki, Haryani terpaksa membuat pilihan. Antara dua nyawa dalam jasadnya; sama ada tinggal bersama Laksamana Sunan pada penghujung kurun ke 15 atau kembali semula ke abad 21. Tiada dua kehidupan dalam zaman yang berlainan. Salah satu kehidupan itu mesti mati!

FRAGMEN NOVEL : BAGAIKAN PUTERI

Pelabuhan Aceh Penghujung Kurun ke 15

SEORANG nakhoda sebuah bahtera pedagang memerhatikan Saifudin dan Djailuh. Pandangannya dipicingkan untuk menilai keperibadian kedua lelaki yang mengakui diri sebagai musafir itu. Malah nakhoda yang dipanggil Juragan itu tidak mengenali Saifudin. Tapi kalau disebut nama Laksamana Sunan, Juragan memang kenal. Laksamana agung yang terkenal dengan ketinggian ilmu persilatannya itu sudah lama masyhur di Nusantara. Namun terdapat di antara mereka yang tidak pernah bersua dengan Laksamana Sunan, termasuklah Juragan.

“Ya, Juragan. Kami hanya mahu menumpangi kapal Juragan sampai ke Melaka sahaja,” tutur Djailuh yang menjadi jurucakap Saifudin. “Lelaki ini tuan kamu?” tanya Juragan sambil memerhatikan Saifudin dan Djailuh dari atas ke bawah. Cara mereka berdua berpakaian seperti orang kebanyakan. Sekali pandang, tiada yang istimewa. Namun keterampilan mereka amat mengagumkan. Umpama orang kebanyakan yang memiliki harta seluas bendang.

“Kita bukan tuan sesiapa, Juragan. Kami ini bersahabat,” celah Saifudin. Walaupun Djailuh itu pembantunya yang dilantik sendiri oleh Wali Sufi, namun lelaki yang suka merendah diri itu tidak pernah mengaku demikian. Istilah persahabatan lebih baik jika dibandingkan dengan gelaran ‘pembantu’ mahupun ‘tuan’.

“Mau cari apa kalian di Melaka?” Juragan masih bertanya itu dan ini kepada bakal penumpang kapalnya itu. “Kami mahu menziarahi keluarga di sana, Juragan.” “Kalian orang Melaka?” soal Juragan lagi sambil menggentel misai melintangnya. Pada pengamatannya, kedua-dua lelaki itu kelihatan seperti pendekar. Saifudin yang bertubuh sasa, berkulit cerah, berambut hingga ke pangkal bahu nampak lebih berwibawa. Misainya tipis dan janggutnya sejemput di dagu tidaklah terlalu lebat. Manakala Djailuh yang kelihatan sama sasanya dengan Saifudin agak lampai. Kulitnya sawo matang. Rambutnya yang menjuntai ke belakang diikat umpama tocang. Namun yang menghairankan, mereka berdua tidak bersenjata. Tapi dalam diam menyatakan bahawa kedua-dua pemuda itu ada menyimpan senjata masing-masing dalam bungkusan barang yang digalas.

“Kita orang Tanah Melayu,” ujar Saifudin. “Hamba orang Jawa.” Djailuh pula mencelah. Panggilan ‘hamba’ lebih merendah diri. Bukannya hamba kepada sesiapa tetapi hamba kepada Maha Pencipta. Itulah keperibadian yang dilentur sepanjang bersama Wali Sufi.

“Upah ke Melaka ialah seuncang emas dari kalian berdua. Boleh kalian menyediakannya?” Juragan menetapkan harga bayaran bagi menumpangi pelayaran itu nanti. Soalan melalui ayat percakapannya agak tinggi nada suaranya. Kedengaran angkuh dan tegas. “Kami cuma ada seuncang kecil emas, Juragan,” kata Saifudin jujur. “Boleh, tapi kalian harus mematuhi segala syarat!” “Kami setuju, cuma kami perlu sebuah bilik di atas kapal Juragan nanti,” pinta Saifudin. Juragan mengangguk berulang kali.

“Tiada pelayaran terus ke Melaka. Aku terpaksa belayar ke tanah jajahan Sultan Sulu terlebih dulu,” beritahu Juragan. Kata-katanya itu membuatkan Saifudin dan Djailuh saling berpandangan. “Ya... kalau begitu, kami menurut saja, Juragan.” Oleh kerana tiada sebarang bahtera yang akan belayar dalam tempoh seminggu ini kecuali kapal Juragan, Saifudin dan Djailuh terpaksa akur. “Bagus.” Juragan yang agak kasar budi pekertinya itu mengukir senyuman. Lalu dia meminta seuncang kecil emas yang ditawarkan oleh Saifudin sebentar tadi. Pelayaran ke tanah jajahan Sultan Sulu di Timur Nusantara akan bermula dalam tempoh sejam sahaja lagi.

Hospital Kuala Lumpur Hari Ini...

WAJAH Haryani kelihatan pucat. Jasadnya kaku terbaring di atas katil seolah-olah sudah kehilangan roh. Cuma nafas yang berombak lemah di dada menunjukkan dia masih bernyawa. Tragedi yang menimpa benar-benar membuatkan dia hampir-hampir terbunuh. Hanya kerana mahu mempertahankan sejumlah wang yang tidak seberapa banyaknya, Haryani terpaksa membayar dengan harga yang cukup mahal. Sebelum ini pun terdapat beberapa kes ragut yang berakhir dengan kematian mangsa. Menurut rekod polis, mangsa yang berusaha melawan mengakibatkan mereka mengalami cedera parah. Selepas seminggu koma, mangsa-mangsa ragut itu meninggal dunia. Walhal apabila menghadapi situasi yang mencemaskan seperti itu, mereka yang disasarkan sebagai mangsa sepatutnya melepaskan sahaja beg tangan yang diragut. Nyawa lebih berharga dari wang ringgit. Malah wang sebanyak mana pun tidak sekali-kali akan dapat membayar harga sebuah nyawa kurniaan ALLAH.

Di luar hospital, hujan turun mencurah-curah. Sesekali dentuman guruh menyingkirkan bunyi hiasan suasana persekitaran. Kalau hujan lebat begitu, pasti terdapat beberapa kawasan di bandar raya yang akan mengalami banjir kilat. Kesesakan jalan raya pula semakin menyesakkan dada para pemandu.

Di luar ICU, ibu bapa Haryani masih bertahan. Rita juga tidak mahu berganjak. Dia sudah menelefon keluarganya memberitahu kejadian yang telah berlaku. Setengah jam lalu, dua orang anggota polis telah mengambil keterangan Rita untuk meneruskan siasatan. Kejadian ragut yang dianggap penyakit sosial kini semakin serius. Seperti luka kudis yang tiada sembuh-sembuhnya. Terdapat satu kes di mana seorang peragut yang berjaya ditangkap bakal menghadapi tuduhan membunuh di mahkamah. Sabit kesalahan, peragut itu boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati. Malah dalam kes lain, ada juga seorang peragut yang maut dibelasah orang ramai.

Dr. Wong dan beberapa orang jururawat yang berusaha bersungguh-sungguh menyelamatkan nyawa Haryani sebelum ini, kini hanya mampu memantau tahap kesihatan pesakit itu sahaja. Tidak banyak yang mampu dilakukan. Menerusi pemeriksaan sebelum ini, degupan jantung Haryani agak lemah walaupun belum mencecah tahap kritikal. Otaknya cedera tetapi tidak pula terdapat sebarang pendarahan. Cuma bengkak biasa sahaja.

GURUH berdentum kuat. Bunyinya menggegarkan bumi. Saat inilah Haryani tiba-tiba bangun dan duduk dengan kedua-dua belah kelopak matanya terbelalak. Seperti orang tidur yang tiba-tiba terkejut. Nafasnya turun naik dan kedengaran amat deras sekali. Dua orang jururawat yang bertugas di situ turut terkejut. Mereka tergamam. Keadaan Haryani kekal begitu tanpa reaksi lanjutan. Anak matanya seakan terbeliak memandang ke hadapan, ke satu arah. Tubuh Haryani seolah-olah diangkat dan ditunjang dari belakang oleh satu kuasa yang tidak kelihatan.

“Cik Haryani...” tegur seorang jururawat lalu melangkah menghampiri pesakit itu. Rakan setugasnya yang seorang lagi teragak-agak melangkah ke arah yang sama. Teguran itu tidak membuatkan Haryani menoleh. “Panggil Dr. Wong,” arah jururawat tadi. Rakan setugasnya bergegas berlari mendapatkan telefon. Jari runcingnya pantas menekan punat-punat nombor. “Cik Haryani.” Jururawat itu sudah berada di sebelah katil Haryani.

Bunyi guruh berdentum lagi. Bunyi yang bergempita kuat dan kedengaran pecah, sekali lagi menggegarkan bilik itu. Sejurus kemudian, Haryani tumbang ke belakang. Kembali terbaring. Kelopak matanya tertutup rapat. Pernafasannya kembali normal seperti tiada apa yang berlaku.

Perairan Selat Melaka Penghujung Kurun ke 15

BAHTERA Juragan teroleng-oleng di lautan yang luas. Ia bagaikan seekor semut di hamparan sebuah gurun. Ribut di selat sepanjang 900 kilometer dan menjadi laluan pedagang itu deras bergelora. Tiupan angin selaju lebih 100 batu nautika membuatkan bahtera Juragan hilang kawalan kemudi.

Juragan yang sibuk di pelantar berteriak memberi pelbagai arahan kepada anak-anak kapal. Dia yang berpengalaman menghadapi situasi seperti itu kelihatan tenang sahaja walaupun terpaksa mengerahkan tenaga, berjalan ke sana sini bagi memastikan kemudi bahteranya tidak tewas pada permainan lautan Selat Melaka.

Sementara itu, Saifudin dan Djailuh berdiam diri di sebuah bilik kecil di bawah dek. Kedua-duanya tidak putus-putus berzikir. Memohon pada ALLAH agar pelayaran mereka dipelihara dari ribut yang seakan mengamuk membanting badai. Saifudin menutup mata, menyandarkan tubuh di dinding. Mulutnya tidak henti-henti memuji kebesaran ALLAH. Berulang kali membaca doa di dalam hati. ‘Maha suci ALLAH! Sesungguhnya petir, ribut, hujan, lautan dan para malaikat bertasbih memuji-MU kerana tunduk kepada-MU.’

Di saat kekhusyukan laksamana agung itu tenggelam bersama zikir dan doa, tiba-tiba petir berdentum amat kuat. Ia bagai membelah dua Selat Melaka, seumpama Nabi Musa membelah Lautan Merah dengan tongkatnya. Seolah-olah suara jeritan malaikat maut ketika meragut kasar roh manusia yang tidak beriman. Tatkala inilah Saifudin rebah ke lantai. Djailuh yang terperanjat segera menerpa.

TATKALA Saifudin membuka kelopak mata, dia dirundung kehairanan. Satu dunia yang bukan nyata muncul di hadapan pandangan. Warna putih umpama kepulan-kepulan awan menghiasi latar suasana. Namun dengan darjat ketinggian ilmu agamanya, Saifudin tidak lekas melatah. Dia mengatur langkah. Selayaknya langkah laksamana yang sudah biasa menghadapi kejadian luar biasa tatkala menentang kuasa kejahatan. Saifudin mencari-cari arah. Anak matanya bergerak mengintai persekitaran.

Tiba-tiba anak telinganya mendengar suara tangisan seorang wanita. Saifudin tetap berwaspada. Dia tertoleh-toleh mencari arah suara itu. Pada ketika kabus berarak bagaikan ditiup bayu, muncul seorang wanita duduk bersimpuh dengan wajahnya tertunduk ke bawah.

“Tiada TUHAN selain ALLAH, Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH dan sesungguhnya ALLAH itu Maha Besar kuasa-Nya,” ucap Saifudin. Mendengar ucapan itu, wanita tadi segera mengangkat wajah dan menoleh ke arah Saifudin. Wajahnya nampak pucat, lesu dan tidak bermaya.

“Kamu siapa?” soal Saifudin dengan loghat Aceh. “Aku... Haryani.” Wanita itu memperkenalkan diri. “Kenapa kamu berada di sini?” tanya Saifudin lagi. “Tak tahu.” Haryani menggeleng. “Kamu datang nak selamatkan aku ke?” Haryani hairan melihat keterampilan Saifudin. Kepalanya tertoleh-toleh. “Dunia apakah ini?” Jiwa Haryani ternyata kucar-kacir. “Kita sendiri pun tidak tahu di mana kita berada sekarang,” balas Saifudin.

Haryani bangkit berdiri dan melangkah perlahan-lahan ke arah Saifudin. Kehairanannya masih mencengkam hati melihat lelaki sasa di hadapannya itu. Mereka bertentang mata tetapi cuma seketika sahaja. Tiba-tiba tiupan angin kencang memisahkan mereka. Masing-masing terpelanting ke arah yang berlainan.

SAIFUDIN terbangun. Tatkala dia membuka mata, wajah Djailuh yang nampak risau menerpa pandangan. Sebentar kemudian barulah sahabatnya itu tersenyum. Saifudin bangkit. Nalurinya mengamati suasana di luar bahtera. Ribut masih melanda. Titisan hujan yang menujah lantai pelantar bahtera amat jelas menusuk anak telinga.

“Apa yang berlaku laksamana?” soal Djailuh. Saifudin tidak menjawab. Dia berlari keluar dari bilik, memanjat anak-anak tangga dan naik ke pelantar. Djailuh mengekori dari belakang. Kini mereka tercegat di atas dek kapal membiarkan tubuh disimbahi air hujan. Saifudin menujah pandangan ke arah langit bumi. Hitam dan gelap. Titisan hujan menujah ke mukanya.

“Hoi! Kalian masuk! Di sini amat bahaya!” Juragan menjerit. Namun teriakan itu langsung tidak diendahkan. “Pasti sesuatu yang luar biasa akan berlaku laksamana!” Djailuh separuh melaung, meningkah bunyi hujan agar suaranya dapat didengari Saifudin. “Sesuatu akan kita jumpai di Selat Melaka ini, Djailuh!” balas Saifudin dalam nada suara yang meninggi.

“Manusia penyembah syaitan?” tanya Djailuh. “Bukan!” Saifudin pantas menggeleng. “Habis apa?” Djailuh masih bertanya. Dia mengakui firasat Laksamana Sunan lebih hebat dari firasatnya. “Tidak tahu.” Suara Saifudin mengendur seakan berbisik. “Apa?” Djailuh mengulangi soalannya. Namun Saifudin hanya berdiri berpeluk tubuh memerhatikan lautan yang bergelombang.

SATU JANJI - Ramlee Awang Murshid



Harga : RM 19.90
Halaman :568
ISBN : 983-124-118-5

Sinopsis : SATU JANJI

Balas dendam, pencarian keluarga kandung, keadilan, kasih sebuah percintaan, air mata dan kesetiaan seorang lelaki yang bernama suami, adalah satu janji yang melingkari hidup Luqman.

Tragedi pembunuhan ayah Luqman, telah membuka satu rahsia yang menjadi hijab jalur pengkhianatan. Pada ketika inilah Luqman menemui Adelia Mustapha. Kasih dan cinta Luqman, rupa-rupanya menjadi racun berbisa di hati Adelia.

Janji yang begitu teguh di hati Luqman akhirnya membawa musibah. Dengan segala kudrat, Luqman berusaha bangkit untuk menggapai janjinya semula.

Dan di hadapannya ada seseorang yang telah menghulurkan tangan untuk membantu Luqman melaksanakan satu janji yang pernah terungkai.