Faisal Tehrani melalui Kekasih Sam Po Bo menggunakan latar sejarah kebudayaan Islam yang merentas sempadan geografi, iaitu kesan kunjungan laksamana Cheng Ho yang beragama Islam yang dikenali sebagai tiga permata kerana tiga pelayarannya yang meninggalkan impak besar terhadap sejarah maritim dan budaya. Cerpen ini bagaikan sebuah retrospektif baharu terhadap teori kedatangan Islam ke alam Melayu dari negeri China. Faisal membawa suatu pengalaman budaya besar (great tradition) di luar lingkungan alam Melayu pada abad ke-15, dengan menampilkan kualiti peradaban Dinasti Ming semasa pemerintahan Maharaja Yung Lo.
Pada zaman pemerintahan itu kuasa dan pengaruh Islam begitu kuat di istana. Pemimpinnya terdiri daripada kalangan pemikir yang tawaduk, memiliki teknologi pelayaran yang hebat, segolongan ilmuan dalam pelbagai bidang seperti tipografi, ilmu falak, hafiz al-Quran, lazatih ilmu hadis, perubatan, fikah, tasawuf, dan ahli sejarah - suatu kesepaduan ilmu yang menjadikan umat Islam di sana begitu terbilang. Pelayarannya ke Melaka telah membawa perubahan yang besar terhadap alam Melayu, iaitu membawa agama Islam dan melengkapkan rantau Melayu dengan kualiti ilmu.
Cerpen ini digerakkan dengan teknik surat, suatu kaedah yang dilihat konvensional, namun bentuk surat telah dimanipulasikan dengan baik oleh pengarang. Kandungan surat tersebut menampilkan kesan pemikiran yang dibawanya. Saniah menghantar bingkisan kepada Sam Po Bo, memaklumkan bahawa bonda Aminah telah pulang ke Melaka kerana mengelakkan godaan istana, sewaktu pelayaran Sam Po Bo. Dalam bingkisan itu diperlihatkan perwatakan Sam Po Bo, pertemuan dan pengislaman Aminah, dan penghijrahan Aminah ke China, serta segala jasa yang diberikan oleh Sam Po Bo atas bakti yang dicurahkan.
Cerpen ini memberikan ruang pemikiran yang perlu ditelusuri. Misalnya ada beberapa penanda yang ikonik tentang isu-isu yang melingkungi milieu dan waktu karya itu dihasilkan. Pertama, soal penjajahan minda di wilayah Melayu, apabila bonda Aminah yang telah lama pulang ke Melaka masih mengajarkan bahasa Mandarin. Secara paradoks pula diperlihatkan kecenderungan menggunakan bahasa Melayu di sekolah bahasa-bahasa asing di Nangking berbanding bahasa Inggeris. Sentuhan ini mengangkat bahasa Melayu sebagai lingua franca perdagangan dan ekonomi. Sikap yang diambil oleh pengarang terhadap isu ini merupakan suatu kritikan terhadap pengikisan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa komunikasi.
Kedua dengan memperlihatkan kemajuan ilmu di China ketika itu, terkesan mesejnya bahawa aspek keilmuan yang dicapai hanya disaluti perkembangan fizikal yang harfiah, sedangkan kepentingan ilmu yang sebenar mencakupi nilai peradaban dan kerohanian bagi membina keunggulan perwatakan manusia. Persoalan ini menggambarkan suatu krisis nilai yang terdapat dalam masyarakat pada hari ini yang terkeliru oleh budaya baharu yang mengasak masuk tanpa saringan.
Dalam cerpen ini diperlihatkan keruntuhan peribadi kepemimpinan Islam masa lalu akibat kerasukan pada hiburan. Di sebalik pelukisan itu dapat dikutip mesejnya bahawa pemimpin yang perlu dijadikan teladan ialah pemimpin yang tawaduk, berilmu, memiliki kebijaksanaan dalam ilmu siasah dan berpandangan jauh.
"Kecenderungan Penulis Muda Dalam Cereka", oleh Mohd Hanafi Ibrahim dalam Idealisme Penulis Muda, Pena, 2005.
http://tehranifaisal.blogspot.com/
Dapatkan buku ini di http://www.ujnailmu.com.my