Oleh Nor Azah Abd. Aziz
Tanpa mengira bidang dalam dunia seni sama ada muzik, filem, seni tampak, apalagi sastera, karya avant garde tidak mungkin dapat dilahirkan dalam waktu yang singkat. Ia tidak dilahirkan setiap hari, setiap bulan atau saban tahun.
Kepercayaan bahawa seniman besar hanya lahir dalam tempoh seratus tahun barangkali telah lama menjadi momokan untuk menyokong pernyataan tersebut.
Dalam konteks novel remaja, karya besar ialah istilah mudah bagi karya avant garde yang merujuk kepada naskhah yang melampaui zaman serta terkedepan dari segi mutu seni dan muatannya.
Maka untuk mengesahkan sesebuah naskhah itu bersifat terkedepan, aspek yang paling penting diteliti ialah manipulasi sarana sastera yang dapat menentukan mutu seni, di samping subjek yang digarapi berupaya berdialog di peringkat antarabangsa, serta berjati diri dan teguh menjunjung prinsip moraliti.
Setelah 18 tahun Kategori Novel Remaja diwujudkan dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (dahulunya dikenali sebagai Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank), naskhah manuskrip yang menyertai sayembara ini telah menimbulkan corak yang jelas.
Dengan iltizam untuk mengambil peranan dalam pengembangan sastera tanah air, Hadiah ini cuba merangsang pertumbuhan penulis baharu di samping berusaha menampung ketekalan pengarang mapan dalam berkarya.
Dalam tempoh yang relatif panjang itu, penganjur menyaksikan penyertaan sejumlah besar pengarang generasi baharu berbanding sebilangan kecil pengarang kawakan.
Keadaan ini agak menggembirakan kerana sejak mula diwujudkan, sebahagian iltizam penganjur, Kumpulan Utusan, menjadi realiti kerana daripada Hadiah ini lahir pengarang baharu yang mencipta karya sulung lantas dinobatkan sebagai pemenang.
Antaranya, Halis Azhan Mohd. Hanafiah dengan novel Konflik (1988); Hartini Hamzah dengan novel Fatin Nabila (1990); Jusang Bolong dengan novel Novel (1996); dan Sri Rahayu Mohamad Yusop dengan novel Bukan Legasi Lalang (2000).
Penulis-penulis tersebut telah melanjutkan penyertaan mereka dan sebahagian daripada mereka mengulangi kejayaan apabila terpilih memenangi Hadiah pada tahun-tahun berikutnya.
Selain itu, sebilangan penulis generasi baharu telah mengembangkan bidang penulisan mereka dengan menghasilkan genre novel remaja berbanding cerpen dan puisi menerusi sayembara ini.
Naskhah sulung mereka mencipta kejayaan. Antaranya, Zaid Akhtar dengan novel Sesegar Nailofar (2000); Siti Jasmina Ibrahim dengan novel Trilogi Cinta (2001); dan Nisah Haron dengan novel Mencari Locus Standi (2003).
Corak yang ditimbulkan oleh manuskrip yang menyertai sayembara ini dapat dibahagikan kepada empat jalur utama yang disusun seperti berikut mengikut jumlah paling banyak:
Pertama, manuskrip yang tidak memenuhi sifat sebagai karya sastera remaja kerana lemah dari segi strukturnya;
Kedua, manuskrip yang sempurna dari segi struktur tetapi mengandungi unsur yang merosakkan, seperti melukiskan babak atau idea keganasan, tidak sensitif kepada bangsa atau agama lain, ataupun tidak memelihara logika;
Ketiga manuskrip yang sempurna dari segi struktur tetapi mengambil subjek klise, bersifat popular dan kurang maju dari segi pemikiran; dan
Keempat, manuskrip yang mantap dari segi struktur, menguja daya taakulan dan berdaya saing ke peringkat antarabangsa.
Sekiranya sayembara ini mahu dijadikan persampelan kepada manuskrip yang diterima oleh mana-mana rumah penerbitan, inilah grafik yang dapat menggambarkan senario rupa bentuk manuskrip novel remaja tanah air.
Oleh sebab Hadiah diberikan berdasarkan pertandingan dan bukannya berasaskan anugerah, pada setiap tahun penilaian Panel Hakim yang dilantik oleh penganjur harus memilih tiga karya terbaik sebagai pemenang.
Panel Penyaring yang ditugaskan untuk menyenaraipendekkan manuskrip ke peringkat akhir penilaian dengan mudahnya mengasingkan naskhah dalam kelompok pertama dan kedua, tetapi kemudian berhadapan dengan kesukaran untuk memilih daripada kelompok ketiga dan keempat.
Walau bagaimanapun, dalam tempoh satu dekad belakangan ini, penganjur dapat berlapang dada kerana terdapat trend yang positif dalam karya yang terpilih sebagai pemenang, khususnya dari segi muatan.
Mulai tahun 1995, novel remaja daripada Hadiah Sastera Utusan sudah mula keluar daripada kepompong domestik dan meneroka wilayah antarabangsa dengan karya Gunawan Mahmood, Tanah Ini. Lorong itu telah dirintisnya menerusi karya yang lebih awal iaitu Namaku Ayoko (1993) dan dilanjutkan lagi dalam Cinta Daerah Perjuangan (1996).
Dari segi muatan pula, berlaku pengembangan apabila subjek-subjek yang lebih luas digarapi oleh penulis, misalnya kenegaraan, kewartawanan, dunia niaga, dunia siber, keagamaan, jati diri, dan sejarah.
Bagaimanapun, karya tersebut masih bersifat konvensional dengan teknik persembahan yang tidak menonjolkan kompleksiti.
Keadaan ini memperlihatkan sedikit kemajuan apabila Sri Rahayu Mohd. Yusop mengemukakan naskhahnya, Bukan Legasi Lalang, yang menggunakan teknik babakan dalam animasi bagi menghuraikan konflik kewiraan Jebat-Tuah, yang menjadikan karya ini satu antara beberapa naskhah lain yang terhimpun dalam kelompok keempat tadi.
Sebagai peneliti kepada trend dan corak yang ditimbulkan oleh para peserta, Panel Penyaring dan Panel Hakim tercari-cari dalam penantian saban tahun terhadap karya yang tidak lagi berbicara tentang subjek yang klise, lemah bahkan fakir dari segi bahasa, menggerakkan pengisahan dengan dialog yang tidak relevan, malah jauh daripada ujaan membuat taakulan.
Pencarian tersebut telah menemui hasil yang memberangsangkan apabila naskhah 1515 karya Faisal Tehrani muncul pada tahun 2002, yang disebut dalam laporan Panel Hakim sebagai sebuah teks yang unik dan lahir buat pertama kali dalam sejarah kesusasteraan Melayu.
Ciri avant garde yang terdapat pada novel tersebut bukan sahaja terletak pada keberaniannya menyimpangi konvensionaliti dan penuh dengan kompleksiti, sama ada dari segi teknik yang menjungkirbalikkan latar tempat, latar waktu dan fakta, bahasa yang dibauri kata arkaik, bahkan keseriusan pemikiran yang dibawanya.
Dengan memanfaatkan subjek sejarah, 1515 bertunjangkan ideologi oksidentalisme yang menawarkan wacana balas terhadap orientalisme.
Dibumbui semangat patriotisme yang tinggi, watak penjajah dilukis dari sudut pandangan pribumi dengan wajah durjana serta alah oleh srikandi muda Melayu, Nyemah Mulya.
Alfonso de Albuquerque tewas di hujung keris Nyemah yang berusia 15 tahun yang kemudian memimpin armada Melaka lalu membina empayar Melayu di Portugal selama berdekad-dekad.
Kehebatan karya besar ini diungkapkan oleh Panel Hakim sebagai benar-benar mencabar pembacaan serta penumpuan yang penuh dan kepintaran tinggi yang sangat diperlukan untuk membaca teks yang kaya dengan kreativiti, imaginasi dan intelektualiti.
Selepas 1515, Faisal menghasilkan Kombat 1511H (2003), Detektif Indigo dan Advencer Si Peniup Ney (2004), kesemuanya merupakan kesinambungan kepada ideologi oksidentalisme yang menampilkan pendobrakan terhadap hegemoni Barat.
Sayang sekali karya besar ini tidak dapat diterima oleh elitis sastera dalam penilaian anugerah peringkat nasional yang telah menolaknya daripada takrif novel remaja kerana kompleksiti dan pemikirannya.
Penolakan tersebut memberi isyarat bahawa elitis sastera belum bersedia berdepan dengan karya avant garde bagi khalayak remaja dan memilih untuk diam selesa dalam zon tradisi/konvensi.
- Nor Azah Abd. Aziz ialah Editor Kanan, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd..
BAJU RAYA
-
*CLEARANCE SALE !!! *
KOLEKSI BAJU RAYA EKSLUSIF DENGAN HARGA BERPATUTAN, KAIN BERKUALITI. SCROLL
SAMPAI HABIS YER..
EMAIL ME @ aera1210@gmail.com
or...
13 years ago