Thursday, June 29, 2006

Jadilah orang yang menegak keadilan

KALAMULLAH

WAHAI orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (al-Maidah: 8)

Huraian

Menegakkan keadilan dan kebenaran adalah ciri-ciri orang yang beriman. Inilah merupakan ikatan perjanjian yang telah diikat Allah s.w.t. dengan manusia muslim. Allah s.w.t. memerintahkan kita agar bersikap adil dalam membuat pertimbangan dan hukuman. Jangan sekali-kali atas sentimen kasih dan benci kita membuat pertimbangan yang salah dengan tidak menegakkan keadilan.

Larangan tegas ini diingatkan oleh Allah s.w.t. kepada orang-orang yang beriman seperti mana yang berlaku ke atas muslimin lantaran sikap ingin membalas dendam dan marah terhadap kaum musyrikin Mekah yang telah menghalang mereka memasuki Masjidil Haram.

Sikap adil dalam membuat pertimbangan dan hukuman, arahan dan perlaksanaan adalah manifestasi takwa yang tinggi. Keadilan adalah lambang ketakwaan dan martabat diri yang mulia dan Allah s.w.t. amat mengetahui sikap dan pendirian seseorang dalam membuat pertimbangan dan pelaksanaan.

Kesimpulan


Jiwa manusia tidak dapat mendaki kemuncak pengawalan perasaan khusus dalam membuat pertimbangan dan hukuman melainkan jiwa tersebut berinteraksi secara langsung dengan Allah bukannya kerana sesuatu tujuan yang lain. Orang yang bertakwa meletakkan neraca pertimbangannya menurut kehendak Allah s.w.t. dan Rasul-Nya dan tidak berdasarkan hawa nafsu dan keinginan-keinginan yang lain.

2 comments:

Ummu Auni said...

assalamu`alaikum akak
ingat tak saya? saya pun pinggirkan diri dari komuniti 'sana' sebab tak berapa gemar cara admin yg cepat meleding, dan pantang dgr teguran. kadang2 bukannya tegur cara kasar, hanya beri idea tetapi dicop lain. seolah2 kita muka penyemak.

tak professional langsung nak dibandingkan dgn komuniti lain yg saya masuk.

Engku Salina said...

waalaikumussalam wbt... ya... saya masih ingat pd mardhiah...